Atlet lempar cakera kebangsaan, Muhammad Irfan Shamsuddin, enggan berlatih di bawah kendalian ketua jurulatih skuad baling tukul besi, Gu Yuan, yang diminta menyelia program latihan atlet itu buat sementara waktu ekoran penamatkan kontrak Frank Petrovic.

Gu Yuan diminta untuk mengendalikan sesi latihan buat atlet lempar cakera kebangsaan setelah Petrovic ditamatkan kontrak.

Namun, bagi Irfan, dia mempunyai perancangan dan pendapat tersendiri mengenai situasi yang berlaku itu.

"Saya baru dapat tahu tentang perkara itu dan berasa lebih selesa dengan cara sendiri," kata Irfan.

"Saya akan cari jurulatih untuk menjaga di gimnasium. Dipantau oleh jurulatih tukul besi, saya lihat ia sesuatu yang tidak perlu kerana dia memiliki keistimewaan dalam bidang lain. Saya mengharapkan individu yang memantau saya itu benar-benar layak.

"Saya tidak akan mengikut mana-mana cadangan daripada Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) dan mempunyai calon sendiri. Calon itu akan saya hantar beberapa nama kepada Majlis Sukan Negara (MSN) atau KOM. Semuanya dari Eropah dan wujud dua atau tiga nama, terpulang kepada MSN untuk memilih."