Jaguh lempar cakera negara, Irfan Shamsuddin, bangkit daripada demam untuk mencipta kejutan apabila meraih pingat perak dalam Kejohanan Olahraga Pardubice 2020.

Pemegang rekod kebangsaan itu melakukan catatan 56.26 meter, rekod terbaik musim ini , mewakili kelab TJ Dukha Praha, bermula baik dalam kejohanan sulung tahun ini.

Catatan 56.26m cukup melegakan kerana dia beraksi dalam keadaan demam dan sedang menyesuaikan diri dengan perubahan waktu di Republik Czech.

"Saya sendiri agak terkejut kerana berjaya melakukan catatan ini dalam keadaan kurang sihat. Saya tidak sabar untuk menghadapi saingan seterusnya," kata Irfan.

Lebih menggembirakan, dia bebas daripada Covid-19 dan dijangka menyertai kejohanan kedua, awal bulan depan.