Semakin ramai atlet olahraga tampil untuk menuntut hak mereka daripada Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM).

Yang terbaru, jaguh lempar cakera negara, Muhammad Irfan Shamsuddin, meminta badan induk itu untuk memberikan penjelasan mengenai status pembayaran wang ganjarannya yang berjumlah RM24,000 ribu, yang tertunggak sejak enam tahun lalu.

Ia hasil kejayaan memecahkan 10 rekod kebangsaan selain pingat dalam kejohanan antarabangsa.

Irfan antara atlet yang masih menunggu ganjaran hasil titik peluhnya itu sejak 2014.

Dia memecahkan rekod kebangsaan sebanyak 13 kali tetapi hanya tiga daripada ganjaran itu, yang berjumlah RM1,000 setiap satu, sudah dilunaskan.

Atlet berusia 25 tahun itu turut menantikan ganjaran selepas memenangi tiga pingat emas dalam Sukan SEA sejak edisi di Singapura pada 2015 selain pingat perak Kejohanan Asia 2017.

"Kalau atlet meraih sesuatu pencapaian, mereka pasti akan memberikan cek dan membuat majlis tetapi ia hanya cek besar (mock cheque) yang tidak bernilai," katanya kepada wartawan Nadi Arena, Bazly Azmi.

"Kami mengharapkan akan menerima wang tunai selepas majlis itu tetapi tiada.

"(KOM) selalu berjanji dan selalu mengadakan majlis penyampaian cek tetapi hanya untuk publisiti.

"Kami tidak dapat apa-apa, ramai lagi atlet lain yang masih tidak dapat (wang ganjaran).

"Saya tahu wang itu memang tidak akan dapat, wang itu mungkin ada tetapi saya tidak tahu apa yang mereka lakukan dengan wang itu," katanya.

Irfan muncul atlet pertama negara melepasi jarak lemparan 60 meter.

Atlet kelahiran Negeri Sembilan itu masih memegang rekod kebangsaan dengan catatan 62.55 meter ketika meraih pingat perak Kejohanan Asia 2017 di Bhubaneswar, India.

"Jumlahnya agak besar. RM24,000 itu boleh menampung perbelanjaan saya selama dua minggu di Eropah.

"Bagi saya ia perlu dibayar kerana ia adalah hak atlet.

"Mereka meminta macam-macam pencapaian daripada atlet, jadi mereka perlu menunaikan janji mereka kepada atlet," tambahnya.

Dalam pada itu, bekas presiden KOM, Karim Ibrahim, ketika ditemui berkata wang ganjaran itu perlu dilunaskan oleh barisan pimpinan baru badan induk itu, yang diketuai Datuk S. M. Muthu.

"Saya sudah dikeluarkan daripada KOM, jadi saya harap presiden baru akan mengambil alih dan menyelesaikan perkara itu.

"Bukannya memberi alasan bahawa ia perlu diselesaikan Karim dan dia tidak tahu.

"Kalau dia tidak tahu, bagaimana dia bolen nampak 'mock cheque' yang besar itu dan tidak mempersoalkannya dalam majlis kami.

"Kami ada rekod bahawa duit daripada AOD (dividen olahraga Olimpik) itu telah masuk ke dalam akaun persatuan.

"Saya mengharapkan pengganti saya dapat menjadi seseorang yang akan mengetuai persatuan ini.

"Tetapi saya amat kecewa dengan ayat 'saya tidak tahu'.

"Kita kena cari jalan untuk membantu atlet kerana jika tiada atlet, maka tiada pegawai dan tiada KOM," katanya.