Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) telah dituduh oleh sebuah agensi anti-doping sebagai gagal dalam menjalankan tugasnya susulan tidak mengenakan larangan sepenuhnya terhadap penglibatan atlet Russia di Sukan Olimpik Rio 2016.

Institut Anti Doping Kebangsaan (iNADO) berkata IOC telah tewas perjuangan anti-doping sebelum temaysa itu bermula lagi.

Beberapa persatuan sukan terpaksa membuat keputusan sama ada membenarkan penglibatan atlet Russia di Rio susulan skandal doping yang ditaja negara itu, namun Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) melarang sama sekali penglibatan atlet dari negara itu.

iNADO -- yang merangkumi 59 organisasi anti-doping seluruh dunia -- memuji IPC kerana membuat keputusan yang drastik dan tegas, namun membidas pendekatan IOC yang dianggap seperti lepas tangan.

"IOC gagal memperjuangkan isu anti-doping di Rio. Mereka gagal sebelum temasya bermula lagi," jelas iNADO.

"Mereka mengabaikan syor oleh Agensi Anti-Doping Antarabangsa (WADA) dan permintaan oleh agensi anti-doping di seluruh dunia yang mahukan keadilan dalam menentukan kelayakan Russia.

"Seperti mana Sukan Olimpik Seoul 1988 dicemari oleh Ben Johnson, temasya kali ini telah dicemari oleh penglibatan atlet Russia yang telah terlibat dengan sistem sukan yang korup.

"Kegagalan IOC dalam melarang sama sekali penglibatan atlet Russia umpama tidak memperjuangkan atlet yang bersih.

"Sangat mengecewakan, mereka mengagalkan diri sendiri apabila tidak mengenakan larangan terhadap Russia.

"Berdepan situasi sama, Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa, tidak mengulangi kesilapan itu."