Keresahan mula dirasai atlet gimnastik negara, Tan Ing Yueh, kesan dari pelbagai kekangan akibatkan pandemik Covid-19 selepas masih tiada tarikh baru untuk Kejohanan Asia.

Kejohanan Asia Senior yang sepatutnya berlangsung di Tokyo, Jepun dari 2 hingga 5 Mei depan menjadi platform terakhir buat gimnas negara bagi menempah tiket ke temasya Olimpik.

Hanya dua gimnas teratas dalam acara all-around di pentas berkenaan akan menempah tempat ke temasya sukan empat tahun sekali itu.

Bagaimanapun, Ing Yueh semakin resah kerana setakat ini, belum ada sebarang maklumat berhubung dengan kejohanan kelayakan berikutan semua acara sukan ditangguhkan akibat pandemik Covid-19.

"Kami tidak memiliki banyak maklumat tentang perkara itu kerana seluruh dunia kini terjejas akibat covid-19. Kami masih menanti sebarang maklumat lanjut daripada jawatakuasa olimpik," katanya.

"Sebenarnya, ia agak membimbangkan kerana kami tidak berlatih, tidak kerap ke gimnasium untuk lebih sebulan setengah. Jadi, saya agak bimbang prestasi akan menurun."

Dia juga menambah, walaupun pandemik Covid-19 memberi kesan kepada seluruh negara, dia tetap berwaspada terhadap saingan yang bakal dihadapi sebaik sahaja kejohanan antarabangsa kembali bermula.

"Saya berpendapat ia setara kerana setiap orang mengalami situasi serupa. Setiap orang berpeluang untuk layak ke Sukan Olimpik. Justeru, saya yakin mampu bersaing dan berupaya untuk layak," ujar Ing Yueh.