Pelumba berbasikal trek negara, Azizulhasni Awang, mahu menjadikan platform Sukan Asia 2018 sebagai pentas untuk membuktikan dirinya masih di kemuncak prestasi selepas pelbagai kegagalan diharungi sepanjang tahun ini.

Untuk 2018, tiada kejayaan positif mampu dilakar Azizulhasni apabila gagal mempertahankan kejuaraan dunia dan pulang dengan tangan kosong dari Sukan Komanwel Gold Coast.

Situasi itu mencetuskan suara-suara sumbang yang mengatakan karier Azizulhasni semakin sampai ke pengakhirannya.

Namun, dia menerima kritikan itu secara positif dan berjanji mereka akan melihat semula kehebatannya dalam Sukan Asia.

"Saya akan cuba melakukan yang terbaik, bukan sahaja untuk saya tetapi untuk semua rakyat Malaysia.

"Saya percaya jutaan rakyat Malaysia sentiasa mendoakan saya dan untuk saingan di Indonesia, saya akan membalas dendam selepas gagal tampil cemerlang di Gold Coast kerana masalah kesihatan," katanya ketika ditemui semasa lawatan ketua kontinjen negara (CDM) ke Sukan Asia, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi, ke Velodrom Nilai bagi meninjau latihan skuad berbasikal hari ini.

Sementara itu, ketua jurulatih negara, John Beasley, berkata tiada sebarang perubahan saat-saat akhir buat barisan pelumba negara ke Sukan Asia, yang menyaksikan hanya Fatehah Mustapa kekal digugurkan.

"Fatehah tidak akan bersama pasukan di Indonesia nanti. Dia gagal berada di tahap terbaiknya dan segala penilaian telah dilakukan. Beberapa pelumba muda sedang meningkat naik dan berada di tahap yang memuaskan," ujar Beasley.