Impian pakar pecut Terengganu Cycling Team (TSG), Harif Salleh, untuk beraksi dalam Kejohanan Dunia kini bagai telur di hujung tanduk susulan tindakan Konfederasi Berbasikal Asia (ACC) mahu membatalkan Kejohanan Lebuhraya Asia, Julai depan.

Harif berada pada tahap terbaik selepas menjuarai dua peringkat perlumbaan dalam saingan Le Tour de Langkawi (LTdL), Februari lalu.

Pakar pecut berusia 32 tahun itu menyasarkan pingat emas dalam saingan ACC untuk layak secara automatik ke Kejohanan Dunia di Switzerland, September nanti.

Namun, keputusan ACC tampak memusnahkan impiannya.

"Saya rasa dengan faktor umur ketika ini, saya perlu lakukan sesuatu kalau mahu ke Kejohanan Dunia. Ia harus tahun ini kerana saya memang memasang impian untuk ke sana. Keadaan ketika ini memang sukar," katanya.

Barisan kejurulatihan pada awalnya merancang untuk memanggil Harif menyertai kem kebangsaan tatkala kali terakhir dia mewakili negara sewaktu meraih emas acara kriterium dalam Sukan SEA 2017.

"Kalau untuk ACC, memang saya menyimpan azam untuk mempamerkan aksi terbaik memandangkan ia diadakan di Malaysia. Memang saya simpan hasrat tetapi ia tidak kesampaian kerana ada desas-desus ia akan dibatalkan."