Jaguh lompat tinggi kebangsaan, Lee Hup Wei, meluahkan rasa terkilan ekoran tidak disenaraikan dalam program Road To Tokyo (RTT).

Hup Wei ketika ini berada di ranking ke-17 dunia, namun belum cukup meyakinkan untuk dia dan rakan sepasukan, Nauraj Singh, kekal dalam kelompok 32 terbaik bagi layak ke Sukan Olimpik, tahun depan.

Meskipun masih boleh menjalani latihan secara sendirian tetapi situasi itu tetap boleh mengganggu fokus dan semangatnya tatkala dia perlu mempersiapkan diri untuk menghadapi Kejohanan Trek Klasik di Queensland, Disember depan, yang berupaya menjadi peluangnya untuk ke Tokyo, tahun depan.

“Latihan kami tidak sama seperti di Majlis Sukan Negara (MSN) kerana di sana lebih lengkap. Di luar, banyak kelengkapan diperlukan. Jika tiada jurulatih, ia akan mengganggu. Begitu juga dengan pusat pemulihan,” katanya.

"Kalau keadaan berlanjutan seperti ini, kejohanan tertangguh, lama-kelamaan akan memberi kesan kepada keputusan sehingga menyebabkan semakin sukar untuk mara ke Olimpik."