Atlet lompat tinggi negara, Lee Hup Wei, sanggup mengeluarkan perbelanjaan sendiri demi memastikan jurulatihnya, Alex Stewart, kekal membimbingnya musim depan andai Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) tidak berminat untuk meneruskan khidmat jurulatih itu.

Hup Wei enggan mengambil risiko perubahan jurulatih kerana sudah selesa dengan tunjuk ajar daripada Stewart.

Pemenang pingat emas Sukan SEA 2011 itu tiada masalah untuk mengeluarkan wang sendiri bagi meneruskan latihan di bawah bimbingan jurulatih dari Australia itu bagi persediaan menghadapi Kejohanan Olahraga Dunia, tahun depan.

Dalam masa sama, dia mengharapkan KOM dapat membuat keputusan tepat demi kebaikan atlet.

"Saya mahu terus berlatih di bawah Alex memandangkan saya tidak mahu membazirkan masa untuk mencari keserasian bersama jurulatih baru," katanya.

Hup Wei ketika ini dalam fasa mendapatkan lesen kejurulatihan sebagai persediaan jangka panjang sebelum mengambil keputusan untuk bersara selewat-lewatnya selepas Sukan Olimpik Tokyo 2020.

"Saya sudah menangguhkan proses perlesenan itu selama dua tahun.

"Kini, saya mempunyai masa yang sesuai untuk memburu lesen tersebut," tambahnya.