Atlet lompat tinggi negara, Lee Hup Wei, bakal tampil dengan prestasi lebih mantap bagi merealisasikan impiannya berada dalam Kejohanan Olahraga Dunia 2019.

Hup Wei sebelum ini belum berkesempatan menjadi taruhan negara dalam Kejohanan Dunia walaupun sudah beberapa kali memenangi pingat dalam sukan bertemasya seperti Sukan Asia dan Sukan SEA.

Kejohanan Dunia sedikit-sebanyak dapat membantu Hup Wei melayakkan diri ke Sukan SEA Filipina 2019 selain Kejohanan Terbuka Malaysia dan Kejohanan ASEAN yang bakal berlangsung tahun depan.

Hup Wei yakin dia mampu mengumpul mata dalam setiap saingan yang dihadapi nanti untuk melayakkan diri ke Sukan SEA Filipina.

Bagaimanapun, Hup Wei mengharapkan lebih banyak pendedahan kejohanan antarabangsa untuk membuat persiapan lengkap menjelang Sukan SEA nanti.

"Sasaran utama saya adalah layak beraksi dalam Kejohanan Dunia. Ia adalah kejohanan terbesar sukan olahraga dan ia dapat meningkatkan lagi mutu lompatan kerana bersaing dengan barisan atlet bertaraf dunia," katanya.