Dua wakil Alumni, Lee Hup Wei dan Farah Ann Abdul Hadi, menerima pengiktirafan khas ketika Majlis Anugerah Gemilang Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ), hari ini.

Hup Wei dan Farah Ann menerima anugerah cemerlang dan diangkat sebagai tokoh bagi sukan olahraga dan gimnastik artistik daripada kalangan bekas lepasan SSBJ.

Seorang lagi atlet yang turut diangkat tetapi tidak dapat hadir adalah penerjun senior negara, Leong Mun Yee.

Farah Ann menerima anugerah itu selepas kejayaan layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 secara merit dan menjadi gimnas wanita pertama ke temasya itu selepas Au Li Yen dalam temasya Sydney 2000 sambil Hup Wei menjadi pilihan atas pencapaian luar biasa menjadi atlet lompat tinggi pertama dari Malaysia beraksi dalam final Kejohanan Dunia, awal bulan ini.

Fokus mereka selepas ini adalah untuk memastikan emas Sukan SEA di Filipina berada dalam genggaman.

"Saya tidak sangka akan meraih anugerah ini. Buat pemain muda, mungkin ia bagus," ujar Hup Wei.

"Sekarang saya sedang mengikut perancangan Sukan SEA. Mungkin akan memulakan persiapan dari dalam dewan."

"Sebenarnya, mereka menjemput saya untuk hadir menyaksikan majlis anugerah. Saya sangat berterima kasih kepada SSBJ kerana di sini lahirnya saya dalam sukan. Sekarang, saya hanya menanti saingan Sukan SEA dan untuk tahun depan, masih belum ada sebarang perancangan," tambah Farah Ann.