Hukuman penggantungan empat tahun kekal buat jaguh bina badan negara, Sazali Samad, selepas rayuan kes dopingnya ditolak Persekutuan Bina Badan Malaysia (PBBM).

Ini merupakan rayuan kedua Sazali kepada PBBM selepas kali pertama dijatuhkan hukuman penggantungan bermula September 2015.

Sazali didakwa gagal ujian doping susulan penggunaan makanan tambahan yang mengandungi bahan terlarang steroid.

PBBM menerusi panel siasatannya mendapati rujukan rayuan kedua Sazali tidak menawarkan bukti kukuh untuk meringankan hukumannya.

Maklumat keputusan ini difahamkan sudah disalurkan kepada pihak guaman Sazali untuk tindakan selanjutnya.

"Kami sudah memaklumkan kepada peguamnya di mana ahli Jawatankuasa Rayuan PBBM telah menolak rayuan keduanya.

"Secara dasarnya, dia mengutarakan perkara yang sama, termasuk dua perkara baru yang mengaitkan isu angkat berat.

"Kami tiada kaitan dengan (persatuan) angkat berat, oleh itu kami tidak boleh mengeluarkan sebarang kenyataan tentang apa yang diutarakan itu.

"Dia baru setahun lebih digantung, ahli jawatankuasa rayuan menolak rayuannya kerana berpendapat alasan yang diberikannya kurang kukuh," kata Setiausaha Kehormat PBBM, Kamaruzaman Kadir.