Mesyuarat Exco Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) semalam memuktamadkan tempoh hukuman yang dikenakan kepada atlet negara yang terlibat dalam kes doping adalah kekal meskipun ada rayuan yang dikemukakan.

Sebanyak tiga kes membabitkan sukan angkat berat yang positif doping tahun ini.

Tiga atlet terbabit adalah Constantine Clement dan Mohd Nasir Roslan yang dikenakan hukuman gantung duan tahun, manakala Khairul Anuar Mohamed pula dikenakan hukuman gantung empat tahun.

Namun, hanya Constantine yang mengemukakan rayuan kepada PABM untuk dikurangkan hukuman, sebelum ia ditolak atas sebab tempoh rayuan telah pun tamat.

"Persatuan Angkat Berat Sabah ada membuat rayuan bagi pihak Constantine tetapi pihak PABM mendapati hukuman yang dikenakan terhadapnya adalah berbaloi. Kami tidak menerima rayuannya.

"Sementara itu, mengenai kes Khairul, ia sudah dimaklumkan bahawa dia dikenakan penggantungan empat tahun dan tiada rayuan. Tiada rayuan dibuat dan ia kekal," kata Setiausaha Kehormat PABM, Pang Siew Huat.

Dalam perkembangan lain, Mesyuarat Exco PABM semalam juga memutuskan untuk menunda tarikh Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) badan itu yang sepatutnya berlangsung Disember depan.

Keputusan itu dibuat supaya kesemua exco dapat menumpukan sepenuh perhatian menghadapi Sukan Sea Kuala Lumpur 2017.

"Kalau boleh saya nak buat selepas Sukan Sea. Kalau mengikut peraturan, kami mesti buat dalam tempoh 45 hari, maknanya selepas 45 hari kejohanan itu kami perlu adakan AGM," tambahnya.