Skuad negara bermula dengan langkah kanan apabila berpesta gol untuk membenam Filipina 11-0 dalam aksi sulung Kejohanan Hoki Ais Piala Cabaran Asia B-20 di Stadium Luncur Ais Kebangsaan Malaysia, Damansara Perdana, hari ini.

Malaysia tidak menunggu lama bagi membuka tirai jaringan selepas percubaan Nurul Nizam Deen Versluis menemui sasaran hanya selepas 30 saat perlawanan bermula.

Tiga lagi gol dijaringkan masing-masing menerusi Mohammad Hariz Oryza Ananda, Raja Karim Adli Raja Amin dan Nurul Nizam sekali lagi untuk membawa Malaysia 4-0 di depan dalam suku pertama.

Aksi pada babak kedua menyaksikan Nurul Nizam terus mengganas melakukan jaringan ketiga pada minit ke-20 sambil Syed Aiman Shahabuddin dan kapten pasukan, Bryan Lee Chee Ming, meledak
untuk menjadikan kedudukan 7-0.

Selepas itu, skuad negara tidak memberi peluang buat Filipina apabila terus meledak empat lagi gol daripada Bryan Lim (m-43, 53), Syed Aiman (m-51) dan Hariz Oryza (m-57) bagi melengkapkan
kemenangan Malaysia.

"Saya tidak menjangkakannya, sebab itu kami berlatih dengan bersungguh-sungguh. Kami berlatih lama, berbulan-bulan untuk kejohanan ini," kata Nurul Nizam.

Sementara itu kapten pasukan Filipina, David Samson, berkata: "Mereka (Malaysia) bermain baik pada hari ini. Saya rasa kami bersemangat. Tiada masalah. Kami masih ada peluang."

Skuad hoki ais negara seterusnya akan berdepan India esok, jam 7 malam.