Skuad hoki ais negara terus cemerlang dalam Kejohanan Piala Cabaran Asia B-20 apabila melakar kemenangan kedua berturut-turut dengan menjadikan India sebagai mangsa terbaru menerusi kemenangan 12-4, malam tadi.

"Saya menaruh kepercayaan kepada pemain saya tetapi aksi kami begitu buruk pada hari ini. India memberikan kesukaran buat Malaysia dan kami terlalu mengambil mudah.

"Ini bukan perlawanan seperti yang kami jangkakan dan saya sangat kecewa. Ini bukanlah kemampuan sebenar kami," ujar ketua jurulatih negara, Kristof Kovago.

Skuad hoki ais negara dijangka tidak menghadapi masalah untuk menundukkan India berdasarkan aksi positif yang dipamerkan ketika menentang Filipina sebelum ini.

Bagaimanapun, mereka bermula agak goyah dalam 20 minit pertama dengan hanya mampu mendahului 3-2 melalui jaringan Nurul Nizam Deen, Syed Ayman Shahabuddin dan Mohd Hariz Mohd Oryza.

Tsewang Dorjay kembali menyamakan kedudukan buat India sebaik permainan bersambung sehingga menyentak kem Malaysia untuk bangkit menjaringkan tiga gol bagi mengukuhkan kedudukan kepada 6-3.

India cuba mengatur langkah pada minit ke-32 apabila meraih gol keempat menerusi Tsering Angdus, namun semangat melawan mereka dapat dipadamkan selepas dua lagi jaringan dihasilkan oleh pasukan negara sebelum babak kedua berakhir.

Bayangan kemenangan mula terpancar sebaik ketua pasukan, Bryan Lim, memperoleh gol kesembilan pada minit ke-54 sebelum V. Sundram, Fareez Afdlin dan Hariz melengkapkan kemenangan penuh bergaya buat pasukan negara.

"Ini pendedahan sulung pasukan saya, apatah lagi kami tidak membuat persiapan rapi. Namun, pemain saya memberikan persembahan yang baik," kata jurulatih India, Mushtaque Giri.