Hoe Yean muncul juara di sebalik kekangan persiapan 

Oleh Shaiful Shamsudin 7 Mac 2020 547
Hoe Yean muncul juara di sebalik kekangan persiapan 
Perenang semakin meningkat naik kebangsaan, Khiew Hoe Yean, mencatat 58.17 saat untuk menjuarai acara 100 meter kuak lentang Kejohanan Renang Remaja Peringkat Umur Kebangsaan 2020 di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil, hari ini.
 
Kejayaannya ke podium itu diiringi Puong Wei Hii yang mewakili Sarawak diikuti wakil Wilayah Persekutuan, Teck Chen Koh.

Atlet berumur 20 tahun itu, bagaimanapun, mengakui prestasinya perlu diperbaiki sebelum saingan Terbuka Malaysia bulan depan.

"Persembahan saya agak bagus walaupun saya kurang menjalani persiapan.

"Saya tidak menaruh harapan tinggi. Kalau dapat kekalkan prestasi, ia sudah memadai tetapi kalau ada sedikit peningkatan, saya anggap ia sebagai bonus.

"Biarpun catatan kali ini boleh dikira baik tetapi ia bukanlah yang terbaik, jadi saya rasa boleh berenang lebih pantas lagi," katanya.

Dalam pada itu, seorang lagi perenang negara, Hollymax Bell, sekadar menamatkan saingan acara itu di tempat kelima. 

Kekangan menjalani latihan nyata merencatkan persiapannya dalam kejohanan ini.

"Saya menghadapi pesaing-pesaing yang hebat terutama dalam kuak lentang. 

"Tetapi fokus saya adalah kuak kupu-kupu namun tetap menghadapi cabaran sengit," katanya pula.
 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen