Permulaan baik musim 2020 buat perenang negara, Khiew Hoe Yean, selepas menyapu bersih lapan pingat emas menerusi lapan acara individu dalam Kejohanan Renang Remaja Peringkat Umur Kebangsaan di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil, hari ini.

Hoe Yan memperbaharui rekod catatan peribadi terbaik dalam acara 200 meter gaya bebas dengan catatan 1:51.26 saat untuk meninggalkan seorang lagi wakil negara, Hii Puong Wei, di tempat kedua.

Perenang berusia 18 tahun itu masih memasang hajat untuk beraksi dalam temasya berprestij, Sukan Olimpik Tokyo 2020, namun perlu mencatat sekurang-kurangnya 2:10.35s bagi acara dominannya 200 meter kuak lentang.

Menurut Hoe Yan, meskipun mendominasi acara individu dalam kejohanan itu, dia memerlukan banyak pendedahan bagi menghadapi cabaran lebih besar selepas ini.

"Prestasi dalam kejohanan ini agak baik buat saya memandangkan tahap saya lebih tinggi berbanding mereka.

"Saya sepatutnya bersaing dengan pemain yang berusia lebih 18 tahun ke atas dalam usaha tingkatkan aksi," katanya.

Sementara itu, perenang negara, Sebastian Soon, berpuas hati dengan pencapaiannya berikutan menghadapi kekangan menjalani latihan selain fokus lebih terarah kepada Terbuka Malaysia, bulan depan.

"Saya perlu tingkatkan kepantasan.

"Saya mempunyai ketahanan tetapi tidak dapat memberikan kuakan yang bertenaga," katanya.