Biarpun masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan kaki, pemain ping pong negara, Ho Ying, tetap bersemangat untuk bersaing dalam Kejohanan Ping Pong Kebangsaan di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Terengganu, 5-18 Disember ini.

Ying sebelum ini mengalami keretakan metatarsal di kaki kanan ekoran kemalangan di dalam gimnasium Institut Sukan Negara (ISN), Jun lalu.

Selepas hampir lima bulan menjalani pemulihan, dia menunjukkan peningkatan dan berharap penampilan di kejohanan itu mampu mengembalikan prestasi asalnya.

"Saya masih belum pulih sepenuhnya walaupun sudah 80 peratus pulih. Semasa menjalani latihan, dalam dua jam pertama saya tidak akan merasai kesakitan tetapi selepas itu saya akan mula merasai kesakitan," katanya.

Ying bakal mewakili Johor dalam tiga acara iaitu perseorangan wanita, berpasukan dan acara regu.

Seorang lagi pemain muda yang turut mengalami kecederaan kaki, Alice Chang Li Sian, juga tidak sabar untuk memulakan saingan dalam kejohanan edisi ke-53 itu.

Meskipun bakal menghadapi tentangan sengit dari pemain-pemain lain, Alice yang bakal wakili Sarawak, sudah bersedia untuk mempertahankan kejuaraan dalam acara perseorangan wanita yang dimenanginya tahun lalu.

"Saya berlatih dengan bersungguh-sungguh. Jika saya berasa kaki saya tidak dapat bergerak dengan sepenuhnya, saya akan menggunakan tangan dan menjalani latihan untuk menguatkan tangan.

"Saya masih lagi boleh berdiri dan menjalani latihan dengan menggunakan bahagian badan atas sahaja," jelas Alice.