Ho Ying akur terlepas aksi AUG 2018

Oleh Staff Writer 30 November 2018 41
Ho Ying akur terlepas aksi AUG 2018
Atlet ping pong wanita negara, Ho Ying, terkilan tidak dapat beraksi dalam Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2018 di Myanmar kerana perlu menyertai Kejohanan Kebangsaan yang bermula 14 Disember ini. 

Tarikh saingan AUG 2018 dari 10 hingga 19 Disember ini bertindih dengan Kejohanan Kebangsaan yang bakal berlangsung di Kulim, Kedah. 

Hanya tiga atlet negara yang sepatutnya ke Myanmar, iaitu Ho Ying, Muhammad Ashraf Haiqal dan Leong Chee Feng. 

Bagaimanapun, Persatuan Ping Pong Malaysia (TTAM) mengarahkan semua atlet negara tetap mengutamakan Kejohanan Kebangsaan tanpa ada sebarang pengecualian. 

"Saya diberitahu bahawa undang-undang memerlukan kami untuk beraksi dalam Kejohanan Kebangsaan. 

"Saya rasa sebenarnya AUG boleh meningkatkan prestasi kami kerana boleh mendapatkan lebih pengalaman berdasarkan lawan yang dihadapi," kata Ho Ying.

Skuad ping pong negara baru sahaja pulang dari kem latihan di China serta Kejohanan Asia Tenggara di Bali minggu lalu dengan membawa pulang dua pingat emas bagi acara beregu dan berpasukan. 

Namun, pemenang pingat gangsa Sukan Komanwel 2018 itu kecewa apabila aksinya bagi acara perseorangan sekadar berakhir dalam suku akhir. 

"Saya tidak puas hati dengan prestasi saya kerana sebelum ini ia agak bagus tetapi mula menurun sejak Sukan Asia."

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen