Helmi Azman: Daripada juara Cub Prix kepada atlet berbasikal Sukma

Oleh Muzaffar Musa 30 Disember 2020 408
Helmi Azman: Daripada juara Cub Prix kepada atlet berbasikal Sukma
Jurulatih skuad berbasikal Wilayah Persekutuan, Datuk Ng joo Ngan, membuat keputusan berani dengan menyenaraikan juara CP150 Cub Prix Malaysia 2020 ke dalam pasukannya.

Juara yang dimaksudkan itu adalah pelumba Hi Rev SCK Honda Racing, Helmi Azman, yang akan membuat penampilannya dalam acara berbasikal Sukan Malaysia (Sukma) Johor tahun depan.

Helmi, 21, tidak pernah menyangka hobinya, yang dimulakannya bertujuan untuk meningkatkan tahap kecergasan di dalam litar, mampu memikat Joo Ngan untuk memilihnya sebagai prospek baru pasukan Wilayah Persekutuan dalam Sukma edisi ini.

Penanguhan temasya itu, yang sepatutnya berlangsung tahun ini, juga memberikan kesempatan buat Helmi untuk melakukan persiapan setelah kini sah menjadi sebahagian daripada 14 pelumba pasukan itu.

"Perasaan saya agak berbangga kerana diberikan peluang oleh Datuk Joo Ngan untuk beraksi dalam kejohanan berbasikal, jadi saya amat gembira," kata Helmi kepada wartawan Nadi Arena, Adam Zamri.

"Saya masih 100 peratus dengan perlumbaan motosikal, cuma perlumbaan berbasikal ini adalah untuk kecergasan.

"Apabila ada peluang untuk berlumba, saya akan berlumba," katanya.

Ujian pertama Helmi ketika bersama pasukan itu adalah ketika diturunkan berlumba dalam Kejohanan Berbasikal Lebuh Raya Kebangsaan di Melaka pada September lalu.

Joo Ngan, dalam pada itu, berkata: "Saya melihat dia pelumba yang baik dan ada potensi. Dia juga amat bijak sewaktu dalam perlumbaan.

"Kami mempunyai perlumbaan ujian dan dia melakukannya dengan amat baik.

"Dia mencuba untuk mengejar perlumba di depan, dia amat bijak dalam melalui perlumbaan itu," katanya.

Untuk rekod, prestasi skuad berbasikal Wilayah Persekutuan dalam Sukma Perak 2018 kurang memberangsangkan apabila sekadar meraih satu pingat perak dan dua gangsa.

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen