"Satu keputusan tepat," itu pandangan pemanah negara, Haziq Kamaruddin, apabila Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM) mengambil keputusan menangguhkan pelantikan jawatan pengarah kejurulatihannya, sekali gus mengekalkan program latihan yang dikendalikan jurulatih, Lee Jae-Hyung.

Haziq menjelaskan, masa terlalu suntuk untuk mengubah program latihan bagi menghadapi Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, Ogos nanti.

Katanya, keputusan terbaik ialah mengekalkan perancangan Jae-Hyung untuk misi mendominasi lima pingat emas acara recurve dalam temasya itu.

"Ia adalah satu berita yang baik. Bagi saya bukan sahaja baik untuk Sukan SEA tetapi kalau boleh sehingga Sukan Olimpik 2020 kerana kami tidak mempunyai jurulatih yang setanding dengannya.

"Dia mengetahui kebolehan kami dan mengenali kami secara luaran serta dalaman. Kebanyakan jurulatih hanya mengenali atlet secara luaran tetapi tidak dalaman," katanya.

Jae-Hyung sudah 15 tahun bersama Malaysia dan berjaya melahirkan pemanah hebat seperti Mohd Marbawi Sulaiman, Moon Radee Tsut Tze, Cheng Chu Sian, Wan Mohd Khalmizan Wan Abd Aziz dan Khairul Anuar Mohamad.

Jae-Hyung, bagaimanapun, berdepan masalah sejak beberapa tahun lalu apabila Malaysia hanya meraih satu pingat emas dalam Sukan Sea Singapura tahun lalu, selain tersingkir dalam pusingan awal Sukan Olimpik Rio 2016, baru-baru ini.

Jurulatih itu akan membawa empat pemanah Program Podium berlatih di Korea Selatan bermula Sabtu ini, bagi menghadapi Kejohanan Memanah Asia Tenggara di Myanmar, Januari depan.

"Keadaan Korea Selatan kini menghampiri musim sejuk, jadi kami mahu membiasakan diri dengan keadaan sejuk. Mungkin badan akan mengalami sedikit perubahan.

"Apa yang boleh kami lakukan, kami akan menggunakan segala peluang yang ada," tambahnya.