Pemanah recurve negara, Haziq Kamaruddin, mengimpikan untuk berada dalam kalangan atlet elit Malaysia memburu kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 walaupun mungkin sekadar berada dalam senarai kluster ketiga Program Sukan Negara.

Sebagai antara pemanah senior negara, Haziq tidak mahu tumpuannya untuk ke Tokyo terganggu hanya kerana kedudukan dalam penstrukturan baru sukan negara belum diputuskan.

Selain itu, Haziq juga tahu bahawa penting untuk memastikan dia dapat mengulangi pencapaian meraih emas bagi acara recurve berpasukan lelaki dalam Sukan SEA 2019 di Manila.

"Tidak kira di mana diletakkan, kami perlu buat yang terbaik. Kami bermain atas dasar minat dan suka kepada sukan ini. Memang setiap atlet mengimpikan pencapaian tertinggi, layak ke Olimpik.

"Jadi, kluster berapa itu adalah keputusan pihak atasan. Kami cuma perlu capai sasaran dalam apa yang kami suka lakukan," katanya.

Setakat ini, sembilan pemanah lelaki dan lapan wanita diletakkan dalam kluster ketiga manakala lima lagi atlet lelaki dan tiga wanita lain berada dalam kluster keempat dengan senarainya belum didedahkan secara keseluruhan kepada atlet terbabit.

Sementara itu, atlet memanah negara yang lain juga berharap agar Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM) memberi lebih pendedahan bagi membantu kelayakan ke Olimpik Tokyo.

"Saya berharap persatuan dapat hantar kami ke sana supaya dapat menyesuaikan diri dengan cuaca serta mengikuti sesi latihan berdasarkan negara luar," ujar pemanah negara, Nur Amalia Haneesha Mazlan.