Gelaran hatrik Mr Universe memberikan nilai yang cukup bermakna buat atlet bina badan negara, Syarul Azman Mahen Abdullah, selepas dia bergelut mencari peruntukan sehingga RM40,000 bagi menyertai Kejohanan Bina Badan dan Sukan Fizik Dunia 2018 di Chiang Mai, Thailand, minggu lalu.

Syarul merupakan atlet pertama dunia yang berjaya meraih gelaran hatrik Mr Universe dalam kategori fizik 167 sentimeter.

Kejayaan itu ternyata setimpal dengan usaha kerasnya selama ini bagi memastikan dana mencukupi untuk melakukan persiapan terbaik ke kejohanan itu.

Bantuan turut hadir daripada usaha Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, yang memastikan Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam) bernilai RM20,000 hasil kemenangan edisi lalu -- yang tertangguh selama setahun -- diberikan kepada Syarul.

"Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, membantu saya mendapatkan kembali insentif kemenangan musim lalu.

"Jika tidak, saya berkemungkinan tidak menyertai Kejohanan Dunia tahun ini," katanya.

Skuad bina badan negara tiba di tanah air, petang tadi, dengan membawa pulang empat pingat emas, satu perak dan dua gangsa.

Turut menjadi tumpuan adalah pemenang dua pingat emas, Lilian Tan.

Lilian menyifatkan tempoh persiapan dua tahun yang dijalaninya cukup perit bagi memastikan dirinya menjadi atlet wanita pertama meraih dua emas dalam satu edisi kejohanan.

"Sasaran saya adalah untuk kembali menjadi juara memandangkan saya telah berlatih selama dua tahun.

"Selepas mendapat tahu pihak penganjur akan memperkenalkan kategori baru, saya menyasarkan untuk membawa pulang dua pingat emas buat negara.

"Saya berbangga memandangkan belum pernah ada atlet yang membawa pulang dua emas daripada kejohanan itu," katanya.

Lilian cemerlang meraih dua pingat emas menerusi kategori wanita 55kg dan kategori baru, masters wanita 30 tahun ke atas.

Satu lagi pingat emas disumbangkan Buda Anchah dalam kategori masters 40-50 tahun.