Jaguh ekuin, Qabil Ambak Mahamad Fathil, berkemungkinan terpaksa melupakan impiannya yang hanya selangkah untuk melakar sejarah menjadi penunggang pertama negara beraksi dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Sembilan tahun lalu, dia mengambil keputusan untuk bersara tetapi kembali aktif dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 serta Sukan Asia di Jakarta, Indonesia, tahun lalu.

Namun, impian Qabil untuk ke pentas Olimpik berdepan cabaran selepas dia tidak dibenarkan menyertai saingan kelayakan susulan program latihannya di Denmark mengalami masalah.

"Tahun ini, saya ada keinginan untuk layak ke Sukan Olimpik. Banyak saingan kelayakan telah saya masuk sejak Januari sehingga sekarang. Namun, kini ada masalah," katanya.

"Namun, kini saya tidak dapat kembali ke saingan kelayakan di Eropah kerana program latihan di Denmark mengalami masalah. Saya hanya ada satu lagi saingan di Moscow, Russia.

"Ketika ini, Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan Majlis Sukan Negara (MSN) sedang cuba untuk mendapatkan ruang buat saya tetapi pihak dari Denmark masih belum memberi kata putus.

"Diharapkan mereka membuat keputusan secepat mungkin," katanya.