Hasrat Nicol ke final Terbuka Wadi Degla tidak kesampaian

Oleh Shaiful Shamsudin 4 November 2016 1
Hasrat Nicol ke final Terbuka Wadi Degla tidak kesampaian
Ratu skuasy negara, Datuk Nicol David, terus gagal menamatkan badi melangkah ke final apabila kempennya di Terbuka Wadi Degla, Mesir, dinafikan seteru dan wakil tuan rumah, Raneem El Weleily, 3-2 dalam separuh akhir. 

Pertarungan di antara Nicol dan El Welily ibarat ulangan aksi ulangan final Kejohanan Dunia 2014 yang lalu, namun tuah memihak kepada El Welily pada kali ini yang lebih ampuh dalam perlawanan lima set itu. 

Hasrat untuk melihat kebangkitan Nicol ke atas pemain Mesir terbabit berada di landasan tepat pada awal saingan, apabila menang set pertama 11-9. 

Bagaimanapun, El Welily berjaya mengubah momentum permainan dengan masing-masing saling mengejar di set kedua yang akhirnya memihak kepada El Welily 13-11. 

Sebelum itu, Welily memastikan pendahuluan hasil kemenangan set ketiga 11-7.

Enggan tunduk dengan mudah, Nicol memperkemaskan permainannya dan berjaya menyamakan kedudukan 2-2, hasil kemenangan 11-8 dalam set keempat. 

Bagaimanapun, pertarungan set kelima menyaksikan El Welily lebih konsisten untuk memastikan kemaraan ke final dengan menoktahkan pertemuan 70 minit itu melalui keputusan 11-7. 

Ini merupakan kemenangan keempat berturut-turut El Welily ke atas bekas pemain nombor satu dunia itu yang terus kempunan untuk melangkah ke final dalam 10 kejohanan yang disertainya musim ini. 

Lebih mengecewakan, keputusan di Wadi Degla itu menyingkirkan Nicol ke tangga kelima ranking dunia. 
 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen