Hasrat Khairi tidak kesampaian

Oleh Penulis Jemputan 18 Disember 2017 88
Hasrat Khairi tidak kesampaian
Hasrat pelumba negara, Khairi Zakaria, untuk muncul juara keseluruhan kategori terbuka antarabangsa Kejohanan Supermoto Asia 2017 tidak kesampaian apabila dinafikan
kehebatan pelumba dari Denmark dalam saingan yang berlangsung di Bukit Jalil, semalam.


Khairi bersaing sengit dengan pelumba Denmark, Simon Vilhemson daripada pasukan Race Tech.

Perlumbaan pertama menyaksikan Vilhemson mengungguli saingan, namun Khairi bangkit dalam perlumbaan kedua pada sebelah petang untuk menamatkan saingan di tempat pertama.

Bagaimanapun, kutipan mata yang tidak mencukupi menyaksikan Khairi sekadar menamatkan kedudukan di tempat ketiga kategori terbuka antarabangsa dengan mengutip 181 mata.

Sedikit pengubat duka buat Khairi apabila dia dinobatkan sebagai pelumba terbaik Asia mengatasi peserta Thailand, Trakarn Thangthong.

"Saingan saya yang paling sengit adalah Thangthong dalam perlumbaan kali ini dan bersyukur di atas kejayaan ini," kata Khairi.

Terdahulu, pihak penganjur Kejohanan Supermoto Asia, E-Plus Global, menandatangani kontrak bersama FIM Asia untuk lanjutan selama lima tahun lagi.

Antara perkara menarik yang bakal dilaksanakan adalah membawa kejohanan ini ke Australia musim depan.

"Kami membuat perancangan untuk membawa perlumbaan ke Australia pada tahun depan bagi mengembangkan lagi kejohanan ini," kata Setiausaha Agung FIM Asia, Shah Yahya.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen