Atlet memanah para negara, Hasihin Sanawi, tidak patah semangat biarpun namanya digugurkan daripada senarai baru atlet Program Podium yang diumumkan Jumaat lalu.

Hasihin hanya sempat berada dalam Program Podium selama 10 bulan sejak Mac lalu sebelum digugurkan dalam pengumuman baru itu.

Bekas pemenang pingat perak Sukan Paralimpik London 2012 itu digugurkan kerana gagal menunjukkan prestasi memberangsangkan pada tahun ini.

Apatah lagi, dalam Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017, September lalu, Hasihin sekadar meraih gangsa dalam acara recurve individu dan berpasukan campuran bersama Ananthy Lachimanan..

"Saya sudah dimaklumkan lebih awal sebelum pengumuman Program Podium dibuat.

"Saya terpaksa menerimanya kerana ia berdasarkan prestasi," katanya.

Ini bermakna tiada lagi wakil daripada sukan memanah para berada dalam Program Podium.

Biarpun tidak akan menikmati keistimewaan dan kemudahan seperti yang diterima dalam Program Podium, Hasihin tetap bersemangat untuk kembali meraih pingat dalam Sukan Para Asia Indonesia, Ogos depan, sekaligus cuba meyakinkan kembali Institut Sukan Negara (ISN) terhadap kemampuannya.

"Pemilihan Program Podium akan dibuat sebanyak tiga kali setahun, jadi saya akan cuba meyakinkan mereka dengan memberikan aksi terbaik," ujarnya.