Atlet memanah para negara, Hasihin Sanawi, khuatir dengan prestasinya yang tidak menentu tahun ini dan meletakkan harapan besar untuk menyerlah pada tahun 2017, khususnya menjelang Sukan Para Asean Kuala Lumpur.

Semuanya bermula hambar selepas dia gagal mempertahankan pingat perak Paralimpik London empat tahun lalu, di Rio apabila sekadar menamatkan saingan di pusingan 32 terakhir.

Ia satu tamparan hebat buat Hasihin apabila reputasinya selaku naib juara edisi 2012 gagal diterjemahkan dengan lebih baik tahun ini.

Namun, aksi yang kurang menjadi itu memberikan pengajaran buat Hasihin untuk membuka lembaran baru menjelang tahun 2017.

"Saya agak kecewa dengan pencapaian tahun 2016, saya menyasarkan sekurang-kurangnya meraih pingat gangsa, saya bertekad untuk membuat yang terbaik pada tahun 2017," kata Hasihin.

Gagal meraih sebarang pingat di pentas Sukan Para Asean 2015, Hasihin tidak mahu mensia-siakan peluang di saat Malaysia menjadi tuan rumah Sukan Para Asean tahun hadapan untuk memburu pingat emas buat negara.

"Untuk Sukan Para Asean, pingat emas menjadi sasaran saya dalam acara individu dan berpasukan, saya berharap dapat membantu negara dalam usaha menjadi juara keseluruhan temasya dwitahunan itu."