Meskipun dilanda pelbagai masalah seperti kecederaan lama yang berulang dan terkeluar daripada Program Kita Juara, pelari pecut negara, Harith Ammar Sobri, masih menyimpan impian untuk melayakkan diri ke Sukan Sea Kuala Lumpur 2017.

Harith kembali menjalani latihan intensif bersama jurulatihnya, Hamberi Mahat, hari ini dalam misi melayakkan diri ke Sukan SEA tahun hadapan.

Kecederaan lama membantutkan sesi latihannya dan kali terakhir Harith bersaing di peringkat kompetitif adalah ketika Sukan Univerisiti Asean (AUG) di Singapura, Julai lalu.

Harith kini mempunyai misi baru untuk melepasi had kelayakan Sukan SEA dalam acara pecut 100 meter, iaitu 10.45 saat, menjelang Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia 2017, yang dijadual berlangsung pada April depan.

"Saya baru pulih daripada kecederaan kecil tetapi perasaan trauma masih lagi ada. Secara perlahan-lahan, saya mencuba untuk menyesuaikan diri dengan program latihan yang lebih tinggi," jelasnya.

Harith juga tidak terlalu memikirkan soal peningkatan barisan atlet pecut kebangsaan yang lain seperti Jonathan Nyepa, Badrul Hisyam Abdul Manap dan Khairul Hafiz Jantan.

Tempoh empat bulan itu akan dimanfaatkan bagi memulihkan diri di samping mencuba untuk mengembalikan prestasi tebaiknya.

"Saya tidak memikirkan tentang prestasi atlet yang lain kerana saya hanya memikirkan untuk melakukan sesuatu yang lebih baik untuk diri saya.

"Jika mereka berada di prestasi yang baik, saya akan memastikan diri saya akan lebih baik daripada mereka. Ia sedikit-sebanyak memberikan motivasi kepada saya untuk lebih berusaha.

"Oleh kerana persaingan begitu sengit, saya akan terus berusaha dua kali ganda lebih daripada mereka."