Selepas bergelut dengan kecederaan belakang selama dua tahun, pelari pecut negara, Harith Ammar Mohd Sobri, menyasarkan untuk melakukan kebangkitan semula dengan beralih ke acara pecut 200m.

Harith sebelum ini melalui kemuncak karier apabila muncul salah seorang pelari pecut terbaik negara dalam acara 200m, serta pernah dinobatkan raja pecut Sukan Malaysia (Sukma) Perlis 2014 dan Kejohanan Sukan Antara Institusi Pengajian Tinggi (SukIPT) 2016.

Namun, kecederaan belakang yang dialaminya selepas itu sering kali membelenggu prestasinya di atas trek dan berputih mata terlepas peluang beraksi dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, Ogos lalu.

Harith kini mengakui sudah pulih sepenuhnya dan bersedia melakukan kebangkitan bagi menyelamatkan kariernya.

"Kalau kita lihat persaingan dalam 100m memang tinggi. Ramai pelari muda meningkat naik. Acara 200m ini kurang sedikit walaupun saingannya tetap ada," kata atlet berusia 23 tahun dari Terengganu itu.

Beralih ke acara pecut 200m daripada 100m bukanlah sesuatu yang asing buat Harith kerana dia sendiri pernah mencipta kejayaan membanggakan apabila memenangi pingat perak Sukan SEA Naypyidaw 2013.

Tambahan pula, dia kini kembali menjalani latihan di bawah jurulatih asalnya, Tan Kuok Lim, berbanding di bawah pemantauan bekas pelari pecut negara, Hamberi Mahat.

"Jurulatih melihat saya boleh beraksi lebih baik dalam acara 200m berbanding 100m.

"Walaupun beraksi hanya sekali, dia menyuruh saya terus menumpukan terhadap 200m untuk menguatkan mental," katanya.

Harith pernah membayangkan untuk mengundurkan diri daripada sukan olahraga selepas mengalami kecederaan belakang yang begitu serius.