Hari Sukan Negara peringkat kebangsaan di Putrajaya menyaksikan 30,000 peminat sukan berhimpun melakukan pelbagai aktiviti riadah, sekali gus petanda positif untuk Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mencapai sasaran tujuh juta rakyat Malaysia mengambil bahagian.

Rakyat Malaysia, terutamanya di sekitar Lembah Klang dan Putrajaya, dilihat berkumpul di hadapan Kementerian Kewangan dan KBS, seawal jam 7.00 pagi, untuk mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti yang disediakan.

Kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang memeriahkan dan menghangatkan suasana, dilihat menjadi pembakar semangat kepada misi KBS, yang mensasarkan tujuh juta rakyat Malaysia melakukan pelbagai aktiviti berasaskan sukan pada Hari Sukan Negara 2016.

"Rakyat Malaysia harus mempunyai tahap kesihatan yang baik dan perlu menjaganya. Saya mahukan definisi hari sukan, diterjemahkan sebagai hari-hari kita bersukan," kata Perdana Menteri.

Antara aktiviti yang dijalankan di Putrajaya hari ini ialah bola keranjang, futsal dan memanjat tembok. Rakyat Malaysia dijangkakan akan terus berada di Putrajaya sehingga sekitar jam 6.00 petang.

Kehadiran pemenang pingat di Sukan Olimpik dan Paralimpik Rio seperti Datuk Lee Chong Wei, Azizulhasni Awang dan Pandelela Rinong dilihat menjadi daya penarik untuk rakyat Malaysia, terutama yang berada di sekitar Lembah Klang dan Putrajaya, untuk memeriahkan lagi Hari Sukan Negara 2016.

"Saya gembira kerana dapat bertemu dengan masyarakat yang hadir di Putrajaya dan saya mengharapkan rakyat Malaysia akan terus bersukan pada setiap hari," ujar Chong Wei.

Dalam pada itu, jaguh berbaikal trek negara, Azizulhasni, mahu acara sambutan seperti Hari Sukan Negara menjadi pendorong untuk rakyat Malaysia terus giat bersukan.

"Saya berharap kehadiran masyarakat yang memeriahkan Hari Sukan Negara dapat dipertingkatkan lagi melebihi sasaran tujuh juta orang.

"Saya juga berharap temasya seperti ini dapat menggalakkan raykat Malaysia untuk terus bergiat aktif dalam sukan," jelas Azizulhasni.