Harga mahal sebuah perjuangan dalam Sukan SEA

Oleh Shaiful Shamsudin 12 Mac 2020 678
Harga mahal sebuah perjuangan dalam Sukan SEA
Fariha Razak melakukan pengorbanan besar dalam Sukan SEA Filipina 2019 apabila mengetepikan risiko kecederaan yang lebih serius bagi memastikan skuad bola jaring negara mempertahankan pingat emas yang dimenangi dalam edisi di Kuala Lumpur pada 2017.

Biarpun mengukir kejayaan manis, tidak ramai yang sedar bahawa tonggak utama itu sebenarnya menanggung kecederaan lutut.

"Saya ditimpa kecederaan ini tiga bulan sebelum temasya. 

"Ketika itu saya bersama skuad kebangsaan mengikuti perlawanan persahabatan ketiga jelajah di Australia.

"Saya telah berunding dengan doktor dan jurulatih jadi selepas pemeriksaan lanjut, masih ada peluang (untuk saya beraksi). 

"Ia pengorbanan yang berbaloi. Saya telah cuba buat yang terbaik sambil dibantu Majlis Sukan Negara (MSN)," katanya ketika dikunjungi wartawan Nadi Arena, Shahrazad Sani, di Institut Sukan Negara (ISN), hari ini. 



Atlet berumur 25 tahun itu menjalani pembedahan pada Jumaat lalu sekali gus akan berehat panjang bagi tujuan pemulihan.

"Kesempatan beraksi dalam Sukan SEA membuatkan pengorbanan saya berbalas. 

"Saya seorang yang aktif jadi apabila terjadi perkara seperti ini, saya perlu berehat setahun dan menjalani pemulihan dengan sebaik-baiknya."


 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen