Lewis Hamilton gembira untuk menunggu gelaran juara Formula Satu yang keenam selepas memenangi perlumbaan Grand Prix Mexico, semalam.

Hamilton turun daripada kedudukan ketiga kepada kelima selepas berlaku pelanggaran dengan pelumba Red Bull, Max Verstappen, di selekoh pertama dalam pusingan pembukaan selepas Sebastian Vettel menghimpit juara bertahan itu di Autodromo Hermanos Rodriguez.

Pelumba kelahiran Great Britain itu mengharungi permulaan perlumbaan yang huru-hara, namun berjaya memanfaatkan strategi yang digunakan Ferrari untuk meraih kemenangan ke-100 buat Mercedes.

Strategi satu perhentian berhasil buat Hamilton, yang menggunakan tayar keras dalam perlumbaan 48 pusingan itu untuk menang di Bandaraya Mexico buat kali kedua, dan Vettel di tempat kedua dan Bottas berjaya menghalang rakan sepasukannya itu daripada ditabal sebagai juara buat kali keenam apabila melengkapkan podium.

Ditanya dia belum dapat meraikan gelaran dunia, Hamilton berkata, "Saya tidak kisah. Saya menggemari perlumbaan dan mengambilnya satu demi satu.

"Ini merupakan perlumbaan yang saya mahu menang, jadi saya berpuas hati."

Ia membuktikan satu lagi perlumbaan mengecewakan buat Charles Leclerc, yang berang apabila Ferrari memanggilnya untuk masuk ke pit pada pusingan ke-16 dan mengakhiri perlumbaan di tempat keempat.

Hamilton meluahkan kebimbangan sama ada dapat menamatkan perlumbaan dengan satu sahaja perhentian tetapi gembira dapat membuktikan sebaliknya.

"Kami meraih keputusan yang luar biasa. Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada pasukan saya -- mereka telah berusaha dan kekal fokus," tambahnya.