Atlet lompat kijang negara, Hakimi Ismail, menyasarkan lompatan sejauh 17 meter dalam penampilan pertamanya selaku atlet Program Podium bagi memastikan dia tidak pulang dengan tangan kosong dalam dua temasya penting, Sukan Komanwel dan Sukan Asia, pada tahun depan.

Catatan tersebut telah ditetapkan Hakimi sejak dari awal tahun ini, namun setakat ini catatan peribadinya hanya mencecah 16.77m yang dilakukan ketika meraih pingat emas dalam Sukan SEA Kuala Lumpur, Ogos lalu.

Pemilihan namanya buat program termahal itu melahirkan satu harapan besar, sekali gus dia perlu memastikan sasaran 17m mampu direalisasikan dengan sebaik-baiknya, apatah lagi namanya sudah pun tersenarai ke Sukan Komanwel dan Sukan Asia.

"Saya sudah melayakkan diri ke Sukan Komanwel dan Sukan Asia berdasarkan keputusan pada tahun ini dan cabaran di sana agak sengit jika dilihat pada kedudukan semasa.

"Atlet-atlet mungkin dapat meraih pingat sekiranya dapat melepasi catatan 17m," katanya.

Hakimi juga menjelaskan bahawa dia terpaksa menarik diri daripada dua temasya sukan itu ekoran kecederaan, membuatkannya berharap agar nasib menyebelahinya pada kali ini.

"Saya mengalami kecederaan ketika Sukan Asia yang lepas, begitu juga Sukan Komanwel empat tahun lalu.

"Kali ini saya harap dapat bebas daripada sebarang kecederaan," tambahnya.