Ketua jurulatih skuad olahraga negara, Zainal Abas, tidak mahu atlet lompat kijang negara, Muhammad Hakimi Ismail, dan atlet lempar cakera, Irfan Shamsuddin, berasa terlalu terkesan dengan ketiadaan jurulatih mereka.

Dua jurulatih dari luar negara, Fero Petrovic (lempar cakera) dan Victor Sotnikov (lompat kijang), tidak dilanjutkan kontrak bagi membimbing kedua-dua atlet berkenaan tahun depan.

Namun, Zainal berharap Irfan dan Hakimi memahami sebab utama khidmat jurulatih mereka itu tidak dikekalkan ialah disebabkan kegagalan mereka membuahkan keputusan positif dalam Sukan Komanwel Gold Coast dan Sukan Asia Indonesia, tahun ini.

Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) tidak akan sewenang-wenangnya mengambil keputusan sedemikian andai mereka mampu menggalas tugas dengan baik di tahap tertinggi.

"Kami mengharapkan tempoh 10 tahun yang diberikan dapat melonjakkan prestasi atlet di bawah kendalian mereka ke tahap lebih tinggi.

"Malangnya, kedua-dua atlet di bawah bimbingan mereka gagal menyerlah dalam Sukan Komanwel Gold Coast dan Sukan Asia tahun ini.

"Matlamat utama kami adalah mereka perlu melangkaui kejayaan di peringkat Asia Tenggara," katanya.

Dalam masa sama, Zainal tidak menolak kedua-dua atlet itu akan dihantar berlatih ke luar negara dalam tempoh yang panjang, tahun depan.

Zainal mahu mereka memanfaatkan peluang itu bagi mempertingkatkan prestasi ke tahap lebih tinggi.

"Kami sedang membuat perancangan bagi menghantar mereka ke luar negara.

"Irfan akan dihantar ke Jerman bagi meningkatkan prestasi," tambahnya.