Hakimi bukti gelaran bapa bukan penghalang kejayaan

Oleh Nafis Abdullah 21 Jun 2020 145
Hakimi bukti gelaran bapa bukan penghalang kejayaan
Atlet lompat kijang negara, Hakimi Ismail, menegaskan dia tidak pernah berputusa asa walaupun ada pihak yang cuba mematahkan semangatnya dalam karier.​

Sempena sambutan Hari Bapa, wartawan Nadi Arena, Adam Zamri, menemubual pemegang rekod kebangsaan itu mengenai suka dan duka bergelar bapa pada 2017.

Dia mengakui ada pihak yang memandang rendah keupayaannya dan menjangkakan dia bakal berdepan masalah untuk mengekalkan prestasi tatkala dia kini menjadi bapa kepada dua orang cahaya mata pada usia yang muda.

Namun, Hakimi -- yang meraih pingat emas Sukan SEA 2019 -- tetap melihat situasi itu sebagai pendorong utama untuk dia terus menjadi atlet kebangsaan unggul serta ketua keluarga yang sempurna.

"Apabila memiliki anak, memang risau terutama selepas mendengar tidak ramai atlet olahraga yang melangkah jauh setelah mempunyai komitmen keluarga," katanya.

"Namun, selepas melaluinya, tiada apa yang terganggu. Ia bergantung kepada kami untuk menguruskan masa. Keluarga juga memberikan bantuan. 

"Saya menghantar anak ke taska. Sewaktu Sukan SEA 2019, guru di taska turut menonton saya beraksi bersama anak saya dan mereka gembira. Apabila mengetahuinya, semangat menjadi berbeza. Ia menjadi pendorong utama dan saya sedar bahawa saya merupakan idola buat anak-anak."

Tentang Penulis

Nafis Abdullah

Komen