Acara 100 meter wanita Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia 2016 menyaksikan S. Komalam Shally dari pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) muncul juara dengan catatan 11.85 saat.

Dia yang menjuarai Kejohanan Olahraga ATM Ke-53 baru-baru ini, mengatasi rakan sepasukannya, Siti Fatimah Mohamad serta Zaidatul Husniah Zulkifli, dengan masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga.

Namun, disebalik kemenangan itu, Komalam mengakui kurang berpuas hati dengan catatan yang dilakukannya, kerana masih belum dapat mengatasi had kelayakan ke temasya Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur.

Malah, catatannya kali ini lebih perlahan berbanding dalam Kejohanan ATM yang lalu, di mana ketika itu dia merekodkan 11.76 saat.

"Setakat ini, apa yang dirancangkan berjalan lancar.

"Namun, saya tidak gembira dengan catatan masa yang saya lakukan kerana dalam Kejohanan ATM yang lalu, saya berjaya melakukan 11.76 saat.

"Saya mahu mengekalkan catatan masa itu untuk layak ke Sukan SEA.

"Saya mengambil sikap positif kerana masih boleh melakukannya dalam pertandingan yang lain," luahnya.