Haiqal tunggu persetujuan jurulatih, keluarga

Oleh Staff Writer 13 Disember 2019 4220
Haiqal tunggu persetujuan jurulatih, keluarga
Pandangan jurulatih Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), Md Poad Mohd Kassim, menjadi panduan bagi sebarang keputusan yang akan dibuat raja pecut Asia Tenggara, Haiqal Hanafi, berhubung perancangan program untuknya di masa depan.

Haiqal antara bintang yang mengejutkan peminat sukan tanah air setelah meraih kemenangan dalam acara 100 meter dalam saingan Sukan SEA Filipina dengan catatan masa 10.35 saat. 

Situasi itu menyaksikan pelari berusia 20 tahun itu mendapat tumpuan ramai pihak, sekali gus perubahan laluan akan ditawarkan kepadanya bagi menjalani program yang lebih berkesan. 

Dia tidak menolak sebarang tawaran yang melibatkan latihan di luar negara buat masa ini, bagaimanapun pandangan Md Poad akan menjadi simbol penentuan sebelum memutuskan sebarang keputusan. 

"Saya menyerahkan perkara itu kepada jurulatih yang telah menaikkan saya tetapi andai diberi peluang untuk berlatih di luar negara, saya akan mendapatkan pandangannya serta keluarga. Jika itu yang terbaik, saya akan pergi," ujar pelari itu.

Sementara itu, Haiqal turut menetapkan sasaran untuk melakar sekurang-kurangnya 10.20s bagi penglibatan kejohanannya bagi edisi 2020. 

"Tahun depan saya akan cuba melayakkan diri ke saingan larian tertutup untuk 60m, kemudian Sukan Malaysia (Sukma) sebelum hadapi kelayakan Olimpik.

"Walaupun di hujung tahun saya mencapai aksi terbaik, mencatat 10.35 saat, tetapi ia tidak bermakna terlalu bagus. Saya perlu perbaiki dan kenal pasti kekurangan bagi hadapi saingan akan datang," tambahnya.
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen