Atlet senior angkat berat negara, Mohd Hafifi Mansor, meminta Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM) memberi hukuman yang adil terhadap pemenang dua pingat emas Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak, Khairul Anuar Mohamad, yang dikesan positif doping.

Jumlah atlet angkat berat negara semakin berkurangan apabila tiga jaguh sukan itu didapati positif bahan terlarang tahun ini.

Khairul Anuar yang mewakili Pahang dalam Sukma Sarawak dikesan positif steroid, sekaligus berdepan penggantungan empat tahun.

PABM sepatutnya mengumumkan hukuman terhadap Khairul Anuar esok, namun menangguhkannya ekoran masalah teknikal.

Apa yang pasti, skuad angkat berat makin tempang apabila seorang demi seorang digantung ekoran penggunaan bahan terlarang.

"PABM dan MSN (Majlis Sukan Negara) perlu bekerjasama untuk membuat keputusan yang adil terhadap Khairul Anuar, Constantine dan Nasir.

"Saya sebagai atlet senior pasukan angkat berat berasakan kes doping ini satu kerugian terhadap pasukan ini," ujar Hafifi.

Pada awal tahun ini, Constantine Clemet dan Mohd Nasir Roslan digantung dua tahun selepas positif steroid.

Hukuman mereka dianggap ringan kerana kesalahan yang dilakukan ketika itu berlaku di luar kejohanan -- situasi berbeza dengan Khairul.

Apa yang pasti, ketiga-tiga atlet ini akan terlepas banyak kejohanan, termasuk Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

"Kita sememangnya meletakkan sasaran dalam kategori rendah bagi kempen Sukan SEA dan Komanwel.

"Dalam kategori 69 kg, kini hanya tinggal saya seorang. Berikutan isu doping ini, lambat lagilah untuk saya bersara."