Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM) memberikan lampu hijau untuk Mohd Hafifi Mansor menuntut ujian sampel B air kencingnya dilakukan di Sydney, Australia, Selasa depan dengan syarat dia perlu menanggung sendiri perbelanjaan perjalanan yang mencecah RM10,000.

Atlet di ranking pertama kategori 69kg, Persekutuan Sukan Komanwel itu tetap bertegas untuk ujian sampel B dilakukan walaupun Presiden PABM, Datuk Ong Poh Eng, menasihatkannya agar melupakan niat itu bagi mengelak pembaziran.

Sehubungan itu, PABM akan menguruskan perjalanan Hafifi ke Sydney walaupun peluang untuk terlepas hukuman dirasakan cukup tipis.

“Dari segi kos, dia perlu mengeluarkan sendiri segala perbelanjaan, termasuk tambang perjalanan. Sama ada dia mendapat bantuan daripada pihak lain, itu kami tidak pasti.

"PABM hanya dimaklumkan dia akan pergi ke sana,” kata Pemangku Setiausaha Kehormat PABM, Abu Hanapah Ismail.

Sampel A Hafifi sebelumnya dikesan positif oxymetholone, sejenis ejen steroid, ketika menyertai Terbuka Australia, Mac lalu.

Jika didapati bersalah, dia berdepan penggantungan maksimum selama empat tahun.

PABM juga sudah mendapat jawapan daripada Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF) mengenai mengapa keputusan doping Hafifi mengambil masa tujuh bulan untuk dikeluarkan.

Tambah Hanapah lagi: "Berdasarkan ujian di Sydney, keputusan itu telah dihantar kepada IWF selepas dua hari.

"Mungkin pihak IWF hantar maklumat kepada PABM agak lewat kerana ada isu-isu yang melibatkan negara lain," katanya.