Peluang amat sukar buat skuad ragbi 7s negara kekal dalam Kejohanan Siri Asia tahun depan tetapi pengendalinya, Saizul Hafifi Md Noor, tidak mahu anak didiknya mengaku kalah sebelum cabaran terakhir di Sri Lanka, hujung minggu ini.

Kesinambungan yang diharapkan selepas meraih tempat kelima dalam Sukan Asia Indonesia sebelum ini tidak dapat diteruskan skuad negara dalam Kejohanan Siri Asia 2018.

Selepas tamat dua aksi di Hong Kong serta Korea Selatan, Malaysia hanya mampu mengutip dua mata dan kini menduduki tangga terakhir daripada lapan pasukan yang mengambil bahagian.

Hanya tujuh pasukan akan kekal dalam saingan ini pada musim 2019 dengan pasukan tercorot akan diturunkan ke saingan Trofi Asia.

Lantas, Malaysia perlu sekurang-kurangnya menamatkan siri terakhir di Sri Lanka di kedudukan keempat andai mahu memastikan kekal dalam pertandingan ini.

"Sekarang Taiwan meraih lima mata manakala kami dua mata. Jika kami ingin mengatasi Taiwan, kami perlu menduduki kedudukan keempat dalam kumpulan. Ini bermaksud kami perlu memenangi dua perlawanan peringkat kumpulan. Saya nampak peluang itu amat sukar, namun kami akan mencuba sedaya-upaya dan berharap dapat kekal dalam Siri Asia," katanya.

Sementara itu, Hafifi menganggap pertindihan pertandingan tidak menjejaskan persiapan pasukannya untuk menghadapi saingan di Sri Lanka nanti.

Saingan Piala Agong 2018 yang merupakan aksi 15s menyaksikan beberapa pemain mewakili pasukan negeri masing-masing, sekali gus tidak dapat menyertai latihan penuh bersama skuad 7s negara.

"Kami mendapat kerjasama daripada pasukan negeri ketika membuat panggilan kebangsaan. Jadi, kami ingin mengucapkan terima kasih kepada pasukan negeri kerana memberi kerjasama yang baik kepada kami. Kami harap pemain-pemain yang akan mendapat panggilan nanti memberikan aksi terbaik di Sri Lanka," tambahnya.