Hafifi angkat bendera putih

Oleh Penulis Jemputan 28 November 2017 4970
Hafifi angkat bendera putih
"Saya sudah angkat bendera putih," demikian luahan jaguh angkat berat negara, Mohd Hafifi Mansor, yang memutuskan untuk tidak lagi memikirkan penyertaannya dalam Sukan Komanwel, April depan, selepas dihimpit isu doping.

Meskipun keputusan ujian sampel Bnya masih belum diketahui, Hafifi seakan-akan sudah mengetahui nasib yang bakal menimpanya, sekali gus ingin terus melupakan misi mempertahankan pingat emas dalam temasya sukan itu dari 4 hingga 15 April tahun depan.

Jelas atlet yang pernah beraksi dalam Sukan Olimpik Rio 2016 itu, tiada gunanya untuk meletak sebarang harapan kerana sudah menjangkakan keputusan yang tidak akan berpihak kepadanya selepas positif doping jenis oxymetholone.

Bagaimanapun, sekiranya didapati bersalah, dia mengharapkan sekurang-kurangnya tempoh hukuman dapat dikurangkan.

"Sukan Komanwel ialah pada April tahun depan. Jadi, saya (perlu) melupakannya," katanya. "Ada sesuatu yang tidak kena. Memang saya tidak ambil dan makan ubat itu.

"Mungkin ada orang mahu aniaya saya, tiada masalah (kerana) tuhan ada. Jadi, kita jumpa di akhirat sajalah," ujarnya.

Hafifi turut menjelaskan keputusan ujian sampel B mungkin sudah diketahui oleh Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Datuk Ong Poh Eng, dan hanya akan diumumkan sebaik beliau pulang dari Amerika Syarikat, Ahad ini.

"Mungkin dia sudah tahu keputusannya. Mungkin dia mahu selesaikan, berapa lama saya dikenakan (hukuman). Saya ada bercakap dengan jurulatih, di mana yang boleh bantu, bantulah saya," tambahnya.

Hafifi, yang juga pemenang pingat emas Sukan Komanwel 2014, berdepan penggantungan selama empat tahun kerana oxymetholone adalah bahan untuk meningkatkan prestasi yang meningkatkan pengeluaran sel darah merah dan menggalakkan pertumbuhan otot.

Ia disifatkan sebagai bahan terlarang yang serius oleh Agensi Anti Doping Dunia (WADA) di bawah kategori S1.

Hafifi dikesan mengambilnya ketika Terbuka Australia di Melbourne, Mac lalu, yang menyaksikan dia berjaya memenangi pingat emas kategori bawah 69 kilogram.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen