Mosikal berkuasa tinggi, kenderaan pacuan empat roda dan wang tunai lumayan adalah antara hadiah yang bakal dimenangi peserta yang berjaya melakukan pukulan 'hole-in-one' dalam Kejohanan Golf Perpaduan 2017 anjuran Persatuan Dusun Islam Sabah (PDIS) di Dalit Bay Golf & Country Club (DBGCC), 11 November ini.

Presiden Majlis Perbandaran Tawau merangkap pengerusi penganjur, Alijus Sipil, dalam satu kenyataan semalam, berkata pertandingan itu dijadualkan bermula jam 6 pagi dengan sasaran penyertaan kali ini ialah seramai 120 pemain, yang mula dibuka bermula hari ini sehingga 4 November ini.

"Selain hadiah 'hole-in-one', pihak penganjur juga menyediakan hadiah mengikut kategori serta hadiah cabutan tiket bertuah yang menarik dengan nilai keseluruhan lebih RM10,000," kata Alijus yang juga Naib Presiden II PDIS.

Tambah beliau, sebahagian daripada hasil kutipan dana pertandingan golf amal ini akan disalurkan kepada badan kebajikan terpilih manakala sebahagian lagi akan digunakan untuk melaksanakan aktiviti PDIS yang telah dirancang.

Antara program sosial yang telah dirancang oleh PDIS ialah memberi bantuan kepada pelajar-pelajar di kawasan luar bandar yang kurang bernasib baik dan tidak berkemampuan.

Sehubungan dengan itu, mereka yang berminat boleh mendapatkan keterangan lanjut dengan menghubungi nombor 012-8280044 (Sulaiman Sabri), 019-8506906 (Rosmilin Abdullah) atau 019-8039928 (Izam Yahya).