Wang tunai sebanyak RM25,000 bakal menjadi rebutan dalam Kejohanan Dart Terbuka Bandar Raya Kuching 2017 selama tiga hari bermula 8 Disember ini di Stadium Perpaduan Kuching.

Datuk Bandar Kuching Utara, Datuk Abang Wahap Abang Julai, berkata lebih 54 pasukan telah mengesahkan penyertaan dalam kejohanan berstatus antarabangsa itu, termasuk dari Singapura dan Brunei.

"Selain peserta tempatan Sarawak, peserta dari Semenanjung dan Sabah turut mengesahkan penyertaan," katanya dalam sidang media khas mengenai pertandingan itu di pejabatnya di Kuching, semalam.

Abang Wahap menjelaskan, ini merupakan tahun kedua pihaknya menganjurkan pertandingan itu yang turut mendapat pengiktirafan Persekutuan Dart Dunia (WDF) dan Persatuan Dart Malaysia (MDA).

“Sambutan untuk edisi pertama pada tahun lalu begitu menggalakkan, yang menggambarkan begitu banyak peminat sukan dart di negeri ini," tambahnya.

Kejohanan itu dibahagikan kepada empat kategori -- kategori berkumpulan, kategori peluang kedua, lelaki terbuka dan wanita terbuka.

Untuk kategori berkumpulan dan peluang kedua, yuran penyertaan adalah RM400 hingga RM700 manakala kategori individu terbuka antara RM80 hingga RM200.

Habuan untuk juara kategori berkumpulan ialah wang tunai RM8,000, trofi dan medal manakala untuk kategori peluang kedua, wang tunai RM700 serta trofi dan medal.

Untuk kategori lelaki terbuka, johan akan menerima habuan tunai RM1,500 serta trofi dan medal manakala kategori wanita terbuka menawarkan tunai RM800 berserta trofi dan medal.