Pesilat wanita negara, Siti Rahmah Mohd Nasir, berharap rakan sepasukan yang bakal berpeluang diserap dalam Program Podium bersedia untuk keluar daripada zon selesa.

Siti Rahmah merupakan atlet yang telah berada dalam Program Podium sejak tahun 2015 sehingga kini.

Beberapa lagi pesilat dilihat berpeluang cerah untuk diserap ke dalam program itu tahun depan seperti Muhammad Faizul Nasir dan Robial Sobri berdasarkan prestasi semasa, khususnya semasa beraksi dalam Sukan SEA Kuala Lumpur, Ogos lalu.

Jelas Rahmah, atlet yang terpilih harus keluar daripada zon selesa bagi memastikan prestasi terus meningkat kerana Program Podium bukanlah tempat untuk bersenang-lenang tanpa menggunakan peluang yang ada untuk memperbaiki kualiti persembahan masing-masing.

"Program Podium bukan suatu program yang biasa, setiap atlet perlu berada pada tahap terbaik, konsisten dan cuba untuk meningkatkan kualiti diri sendiri," kata Siti Rahmah.

Meskipun kedudukannya dilihat tidak tergugat untuk terus berada dalam program terbabit pada tahun depan, juara silat dunia ini enggan terlalu memikirkan soal itu, sebaliknya hanya ingin fokus terhadap kejohanan yang dinantikannya selama ini, iaitu Sukan Asia 2018, Ogos depan.

"Sasaran saya adalah Sukan Asia. Saya mahu meraih kejayaan dengan meraih pingat emas buat negara," katanya.