Pandelela Rinong menggondol pingat emas dalam acara kegemarannya, 10 meter platform individu, dalam Grand Prix (GP) Terjun Gold Coast, hari ini.

Pandelela mengumpul 319.40 mata untuk mengatasi Celina Toth dari Kanada dan atlet tuan rumah, Annarose Keating.

Sementara itu, gandingannya bersama Leong Mun Yee dalam acara 10m platform seirama berjaya menghadiahkan perak manakala dua lagi kilauan perak berjaya diraih menerusi Ooi Tze Liang dan Chew Yiwei (3m papan anjal seirama) serta Jellson Jabilin dan Cheong Jun Hoong (10m seirama campuran).

Nur Dhabitah Sabri pula meraih gangsa dalam acara 3m papan anjal individu.

Kempen di Gold Coast, Australia, itu dianggap penting buat kem negara sebagai persiapan untuk menguji venue yang akan digunakan dalam Sukan Komanwel 2018 nanti.