Penerjun sensasi negara, Cheong Jun Hoong, hanya mengutamakan proses pemulihan kecederaan belakangnya berbanding sasaran dalam Kejohanan Terjun Grand Prix (GP) Kuala Lumpur yang akan membuka tirai di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil, esok.

Jun Hoong masih lagi bergelut dengan kecederaan belakang yang dialaminya sejak Kejohanan Dunia, Julai lalu, sekaligus menjejaskan persiapannya untuk menghadapi GP Kuala Lumpur.

Sehubungan itu, jurulatih, Yang Zhuliang, enggan mengambil risiko membenarkan juara dunia itu menyertai acara platform individu, sebaliknya hanya beraksi dalam acara 10 meter seirama campuran apabila bakal bergandingan dengan Jellson Jabilin.

Jun Hoong masih belum bersedia untuk beraksi dalam acara yang boleh memberi kesan lebih teruk terhadap kecederaannya kerana dia perlu pulih secepat mungkin sebelum Sukan Komanwel Gold Coast 2018, April depan.

"Saya akan melakukan dengan baik, janji boleh lompat. Saya tidak mahu ada tekanan atau beban. Saya cuba meringankan beban memandangkan semua orang meletakkan jangkaan tinggi. Saya akan cuba fokus untuk memberikan yang terbaik," katanya.

Bagi Jellson pula, dia tidak menolak agak berdebar menanti saingan dalam GP yang menjadi kejohanan terbesarnya pada usia 16 tahun.

Bergandingan dengan Jun Hoong menjadi satu kelebihan untuknya melakukan yang terbaik bagi merebut pingat emas.

"Semua atlet yang hadir adalah hebat. Ini juga merupakan kali pertama saya bertemu dengan nama-nama besar.

"Bergandingan dengan Jun Hoong tiada masalah. Walaupun tidak sampai sebulan (membentuk gandingan) tetapi kami sudah dapat mencari keserasian," kata pemenang emas Sukan SEA 2017 itu yang beraksi dalam acara 10 meter platform seirama lelaki bersama Hanis Nazirul Jaya Surya, Ogos lalu.