GP FINA: Latihan teknik asas bantu kejayaan Tze Liang

Oleh Staff Writer 15 November 2019 319
GP FINA: Latihan teknik asas bantu kejayaan Tze Liang
Latihan memperbaiki teknik asas membuahkan hasil buat penerjun negara, Ooi Tze Liang, apabila menjuarai acara 3 meter papan anjal individu lelaki dalam Grand Prix (GP) Terjun FINA di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil hari ini.

Penerjun negara itu jelas terlalu ampuh untuk ditandingi lima penerjun lain selepas mengumpulkan 439.70 mata daripada enam terjunan.

Jelasnya, penekanan terhadap latihan memperbaiki teknik asas telah membantunya untuk beraksi secara tekal dalam keenam-enam terjunan.

"Saya balik kepada perkara asas.

"Jadi, apabila terjadi sesuatu masalah, kami mencari akarnya.

"Apabila menemui akarnya, bunganya menjadi lebih cantik.

"Jika hanya memperbaiki bunga sahaja, ia tetap sama," katanya.

Tempat kedua menjadi milik penerjun China, Miao Zhanming (417.75 mata) manakala peserta dari Switzerland, Jonathan Suckow (405.55) ketiga.

Seorang lagi wakil negara, Syafiq Puteh, berpuas hati biarpun menamatkan saingan di tangga kelima.

"Alhamdulillah, saya dapat buat yang terbaik dalam final.

"Cuma terdapat sedikit kesilapan dalam salah satu terjunan.

"Tetapi saya dapat buat yang terbaik dalam terjunan lain," katanya.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen