Tiada peminat dibenarkan hadir menyaksikan Kejohanan Jelajah PGA sepanjang musim ini berikutan krisis COVID-19.

Semalam, Jelajah PGA mengumumkan keputusan untuk baki jadual musim 2019-20 itu dibuat selepas membuat pertimbangan yang mendalam.

"Seperti yang telah kami katakan sejak awal lagi, keutamaan nombor satu kami adalah kesihatan dan keselamatan semua orang dalam komuniti ini dengan kami menjadi tetamu saban minggu," kata Ketua Kejohanan dan Pertandingan Jelajah PGA, Andy Pazder.

Kejohanan Memorial di Ohio yang melibatkan Tiger Woods minggu lalu, sepatutnya menjadi kejohanan pertama yang ditemani kehadiran penonton sebelum hasrat itu dibatalkan awal bulan ini.

Ia akan dilangsungkan di gelanggang tertutup, seperti yang berlaku terhadap lima kejohanan sejak siri kejohanan itu bersambung bulan lalu.

Kejohanan PGA Amerika Syarikat (AS) dan Jemputan WGC-FedEx St. Jude antara kejohanan yang akan diharungi tanpa kehadiran penonton.

Menerusi kemas kini terbaru laman sesawang Jelajah PGA itu, mereka juga menjelaskan pendekatan itu turut merangkumi Kejohanan Wyndham dan perlawanan play-off Piala FedEx.

Musim 2020-21 pula akan dimulakan dengan Terbuka Safeway di California pada 10 September lalu.

Bagaimanapun, belum ada keputusan yang dibuat untuk kejohanan yang melangkaui musim ini termasuk penjadualan semula Kejohanan Masters dan Terbuka AS yang memasuki kalendar musim depan.