Shane Lowry melakukan pusingan menakjubkan dengan catatan 63 di Royal Portrush semalam untuk membawa kelebihan empat pukulan ke hari terakhir Kejohanan Golf Terbuka British.

Pemain Ireland itu, yang memulakan pusingan ketiga semalam selaku pendahulu bersama dengan J.B. Holmes, berkesudahan enam pukulan mengatasi pesaing dari Amerika Syarikat (AS) itu, dengan Tommy Fleetwood sebagai pencabar terdekatnya.

Dengan catatan 67 dua hari berturut-turut, pertunjukan Lowry yang tidak banyak cacat-cela dalam pusingan ketiga itu adalah catatan terbaik sepanjang minggu ini sambil dia menghimpun 16 bawah par secara keseluruhan.

Tapi dia akan berdepan cabaran getir dalam pusingan terakhir hari ini – bukan saja daripada Fleetwood yang masih memburu gelaran utama sulung tetapi juga jangkaan cuaca buruk yang memaksa permulaan permainan diawalkan.

Sebagai rekod, Lowry pernah mendahului dengan empat pukulan ketika memasuki pusingan terakhir Terbuka AS di Oakmont pada 2016 sebelum cabarannya dipintas dan kesudahannya menamatkan saingan tiga pukulan di belakang Dustin Johnson di tempat kedua.

Pemenang empat gelaran utama, Brooks Koepka, ketika ini satu pukulan membuntuti Holmes pada sembilan di bawah par, seiring dengan Justin Rose.

Pendahulu hari pertama, Holmes, berada pada 11 di bawah par sehingga lubang 12 sebelum menemui birdie semula di lubang terakhir manakala Lee Westwood merudum dalam sembilan lubang kedua untuk ketinggalan lapan pukulan.

Selebihnya, pemain seperti Jon Rahm, Jordan Spieth, Tony Finau dan Danny Willett, pada tujuh di bawah par, mungkin mendapati jurang berkenaan terlalu besar.

Lowry, bagaimanapun, bertekad untuk tidak melepaskan peluang memiliki trofi Claret Jug kali ini.

“Saya berharap saya akan dapat menanganinya dengan lebih baik. Ia akan menjadi sukar, saya tahu benar perkara itu.

“Tapi saya fikir saya sudah bersedia untuk itu. Harap-harap saya sudah bersedialah,” katanya.

Tambah Lowry: “Harap-harap saya akan berasa selesa esok. Saya tidak mengharapkan untuk berada di tempat lain ketika ini – pendahuluan empat pukulan dalam Terbuka British di Ireland.

“Esok akan menjadi hari yang menakjubkan, tidak kira apapun kesudahannya.”

Kedudukan pendahulu (selepas pusingan ketiga):

-16: Shane Lowry
-12: Tommy Fleetwood
-10: J.B. Holmes
-9: Brooks Koepka, Justin Rose
-8: Rickie Fowler, Lee Westwood
-7: Danny Willett, Jon Rahm, Tony Finau, Jordan Spieth